Hadis Jarir yang membawa maksud “Kami
mengira orang berhimpun kepada ahli keluarga si mati dan menyediakan
makanan selepas pengkebumiannya adalah daripada ratapan (an-niyahah).” Hadis
ini menjadi hujjah bagi meng”haram” atau me”makruh” membuat kenduri
arwah kematian selepas matinya seseorang. Adakah ini pemahaman yang
difahami oleh para ulama kita ?
Tuan Guru Haji Ahmad al-Fusani (1902 – 1996) memberi penjelasan dalam kitabnya “Khulasah al-Mardhiyyah fi Masail al-Khilafiyyah” antara lain menyatakan bahawa kalimah “minan-niyahah” dalam hadis tersebut ditanggung maknanya sebagai “min asbabin niyahah” iaitu “setengah
daripada sebab ditakutkan jadi niyahah. Maka bukanlah diri berhimpun
dan buat makan itu niyahah sungguh kerana jikalau niyahah sungguh
tentulah ulama kata haram kerana tiada ada niyahah yang makruh sama
sekali” (yakni jika semata-mata berhimpun dan berjamu
itu termasuk ratapan, maka sudah tentu ulama akan terus menghukumnya
haram dan bukan makruh kerana tidak ada niyahah yang hukumnya makruh.
Jadi dihukumkan bid`ah makruhah kerana boleh jadi sebab bagi ratapan
atau boleh membawa kepada ratapan, jadi kalau ikut kaedah ushul ini yang
menjadi ‘illah bagi dihukumkan bid`ah makruhah tersebut, jika ‘illah
ini hilang maka hukumnya juga turut berubah). Soalnya, adakah kenduri arwah yang orang kita buat bersifat sedemikian ? Adakah kenduri kita menjurus kepada ratapan ?
Selanjutnya Tuan Guru Haji Ahmad menyebut:-
· “…Sebuah
hadis yang meriwayatkan dia Imam Ahmad rahimahUllah ta’ala dengan sanad
yang sahih dan Abu Daud daripada ‘Aashim bin Kulaib daripada bapanya
daripada seorang laki-laki daripada Anshar berkata ia: “Keluar kami
sahabat nabi serta Rasulullah s.a.w. pada menghantarkan jenazah orang
mati kepada kubur. Maka aku nampak akan Rasulullah s.a.w. menyuruh orang
yang menggali kubur dengan katanya: “Perluas olehmu daripada pihak dua
kakinya, perluas olehmu daripada pihak kepalanya”. Maka tatkala balik
Nabi daripada kubur berhadap kepadanya (yakni datang kepada Nabi)
seorang yang (mem)persilakan Nabi ke rumah daripada suruhan perempuan si
mati itu. Maka Nabi serta sahabat pun silalah (yakni datanglah) ke
rumahnya. Maka dibawa datang akan makanan, maka (meng)hantar Nabi akan
tangannya, yakni menjemput Nabi akan makanan bubuh ke mulut dan
(meng)hantarlah segala sahabat akan tangannya”…….Hadis
ini menyatakan Nabi sendiri serta sahabat berhimpun makan di rumah
orang mati kemudian (yakni selepas) balik tanam orang mati…….Jadi
berlawan hadis ini dengan hadis Jarir yang menunjuk atas tegah
berhimpun makan di rumah orang mati kemudian daripada tanam
mayyit……….Setengah riwayat tak dak lafaz “ba’da dafnihi” (kemudian daripada tanamnya) [yakni hadis Jarir ada khilaf dalam riwayatnya kerana ada riwayat yang tidak menyebut “ba’da dafnihi“). Maka
orang tua-tua kita tanggungkan bahawasanya makruh itu berhimpun makan
di hadapan mayyit jua. Inilah jalanan orang tua-tua kita. Sebab
itulah orang kita tidak berjamu sewaktu ada mayyit di atas rumah, dan
jika darurat kepada berjamu juga seperti bahawa suntuk masa, diberjamu
pada rumah yang lain daripada rumah yang ada mayyit padanya……..Alhasil,
hukum berhimpun di rumah ahli mayyit dan membuat ahli mayyit akan
makanan, berjamu makan semata-mata dengan tidak qasad bersedekah
daripada mayyit atau baca al-Quran niat pahala kepada Allah, makruh
tanzih selama ada mayyit di atas rumah itu.”
Perkataan
ulama kita yang menghukum berhimpun dan berkenduri makan selama 7 atau
40 hari sebagai bid`ah makruhah diihtimal maksudnya jika perbuatan
tersebut dibuat semata-mata menjalankan adat kebiasaan yang jika tidak
dilaksanakan akan menjadi cemohan masyarakat bukan dengan niat “ith`aam ‘anil mayyit”
dan sebagainya. Atau ianya boleh membawa kepada niyahah yang diharamkan
atau kesedihan yang berlarutan. Oleh itu, larangan tersebut tidaklah
bersifat mutlak tetapi mempunyai qayyid yang menjadi ‘illah pada hukum
tersebut. Dalam pada itu, Imam Ibnu Hajar dalam “Fatwa Kubra”nya
menyatakan bahawa jika seseorang berbuat kenduri tersebut semata-mata
menjalankan adat untuk menolak cemohan orang-orang jahil dan menjaga
kehormatan dirinya maka tidaklah ianya dianggap sebagai bid`ah
madzmumah. Nanti aku postkan lain kali.
Seorang saudara menghantar risalah yang dalamnya nukilan perkataan Imam asy-Syafi`i yang menyatakan “Aku benci diadakan ma’tam, iaitu himpunan walaupun tidak ada tangisan mereka, kerana sesungguhnya pada yang sedemikian itu memperbaharui kedukaan dan membebankan tanggungan“. Membaca nas perkataan Imam asy-Syafi`i ini jelas menunjukkan tidak mutlaknya kebencian
tersebut kerana ianya dikaitkan dengan “membaharui kesedihan” dan
“membebankan”. Apa kata jika, perhimpunan dilakukan adalah dalam rangka
mendoakan si mati, bersedekah buat pihak si mati, menghibur ahli
keluarga si mati, dan tidak menjadi beban kepada keluarga si mati yang
berkemampuan ? Adakah Imam kita asy-Syafi`i masih membencinya ?
Jadi
kalau ada yang berbuat kenduri seperti itu rupanya maka makruhlah kita
datang hadir. Bahkan jika digunakan tirkah anak yatim atau tirkah waris
yang tidak redha atau sebagainya makan haram kita hadir. Jadi hukumnya
kena lihat case by case, bukan main pukul rata haram atau makruh atau
harus.
Download kitab dan risalah ahlusunnah, kalahkan fatwa sesat wahabi (bidznillah)!!
http://www.geocities.com/pndktmpn/kitab04.htm
Tidak ada komentar:
Posting Komentar