Dalam buku”Ulama Besar Dari Fathani”
susunan Ustaz Ahmad Fathi al-Fathani yang diterbitkan oleh Universiti
Kebangsaan Malaysia, disebut kisah seorang ulama Fathani Darussalam,
Haji Abdullah Bendang Kebun yang menulis sebuah kitab berjodol “al-Kawaakibun-Nayyiraat fi Raddi Ahlil-Bida` wal ‘Aadaat” di
mana beliau memfatwakan bahawa buat makan kematian atau kenduri arwah
selepas kematian itu bid`ah makruhah dan boleh menjadi haram. Fatwanya
ini lebih kurang sama dengan fatwa-fatwa tokoh-tokoh anti tahlil dan
kenduri arwah zaman kita ini.
Fatwa ini telah membuat keluh-kesah dan perpecahan dalam masyarakat
di wilayah-wilayah Fathani yang rata-rata mengamalkan tradisi bertahlil
dan berkenduri arwah ini. Menyedari hakikat ini, maka Lujnah Ulama
Fathani telah mengambil inisiatif untuk mengadakan mudzakarah dan
mesyuarat berhubung isu ini yang dihadiri oleh 17 orang ulama ternama Fathani termasuklah Haji Abdullah Bendang Kebun tersebut.Yang Dipertua Lujnah, Tuan Guru Haji Abdur Rahman mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berjalan dengan lancar serta membuahkan keputusan dan natijah yang memuaskan. Setelah hujjah-hujjah pihak yang menentang dan menyokong dikemukakan, mesyuarat tersebut telah mencapai keputusan dan mengeluarkan satu resolusi pada 21 Januari 1974 yang antara lain menyebut:-
- Ahli si mati membuat makanan kerana kematian untuk sedekah pahala kepada mayyit dengan ketiadaan menyeru (mengundang – p) oleh mereka, hukumnya sunnat dengan ittifaq Lujnah Ulama Fathani.
- Ahli si mati membuat makanan dan memanggil mereka itu akan manusia pergi makan kerana qasad sedekah pahalanya, dan (meng) hadiah (kan) pahala jamuan itu kepada mayyit, maka hukumnya boleh (harus) kerana masuk dalam nas ith`aam yang disuruh dalam hadits Thaawus, kerana ith`aam itu melengkapi jamuan di rumah si mati atau di tempat lain.
- Ahli si mati membuat makanan di rumahnya atau di rumah si mati pada hari mati atau pada hari yang lain kerana mengikut adat istiadat, tidak kerana qasad ibadah dan niat pahalanya kepada mayyit, maka hukumnya makruh dengan ittifaq ahli Lujnah Ulama Fathani.
- Ahli si mati membuat makanan daripada tirkah yang bersabit dengan umpama hak anak yatim atau kerana dipaksa ahli si mati membuatnya dengan tidak sukarelanya dan ikhlas hatinya, maka hukumnya haram dengan ittifaq ahli Lujnah Ulama Fathani.
Menghukum
sesuatu hendaklah dibuat secara teliti dan tafsil melihat rupa bentuk
sesuatu, bukan menghukum secara membabi-buta dan main pukul rata haram
dan bid`ah dhalalah sahaja. Lihat dahulu keadaannya, bagaimana hendak
dihukumkan haram jika ahli mayyit yang telah aqil baligh dengan rela
hati tanpa terpaksa dan tidak merasa susah untuk menjemput jiran-jiran
dan kenalan untuk hadir ke rumah si mati untuk berdoa buat si mati dan
kemudian dijemput makan yang semuanya diniatkan sebagai sedekah kepada
si mati.
Yang
ditentang oleh ulama kita ialah mereka yang menjalankannya sehingga
menyusahkan diri dan keluarga si mati atau semata-mata menjalankan adat
atau lebih jahat lagi dengan niat bermuka-muka atau riak. Ini yang
difatwakan oleh Sayyidi Ahmad Zaini dalam “I`anathuth – Tholibin”
yang sengaja dikelirukan oleh Ustaz Rasul yang dikasihi dengan sengaja
meninggal menterjemahkan soalan yang dikemukakan kepada Sayyidi Ahmad
dan jawapan beliau sepenuhnya. Menghukum haram secara total amatlah
tidak wajar dan tindakan sembrono.
Akhirul
kalam, satu soalan, adakah ulama-ulama Fathani yang membuat resolusi di
atas tidak membaca kitab Tok Syaikh Daud dan Tuan Minal ? Siapa yang
baca dan faham kehendak ibarat kitab-kitab tersebut ? Mereka atau yang
dikasihi Ustaz Rasul kita ? Tepuklah dada masing-masing.
Allahumma hidayatan wa taufiqan ilal haqqi wash showab.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar